Sabtu, 24 Oktober 2009

Rakyat bersatu dalam 1 Malaysia

Rakyat bersatu dalam 1 MALAYSIA
Rakyat Malaysia merupakan masyarakat majmuk yang menganut pelbagai agama mesti menganggap mereka sebagai satu bangsa Malaysia yang dinamik dan bersatu. Konsep 1 Malaysia merupakan satu gagasan yang beraspirasi memupuk perpaduan di kalangan penduduk Malaysia yang berlatarkan majmuk, berteras beberapa nilai dan budaya yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia dan gagasan 1 Malaysia kekal menjunjung semua teras sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan Persekutuan.Konsep 1 Malaysia ini diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak merupakan langkah yang bertepatan dengan suasana dan citarasa rakyat. 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

Definisi
Konsep 1Malaysia menurut penjelasan Perdana Menteri:
“Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Kita mengambil tindakan berdasarkan kehendak dan keperluan semua kumpulan etnik dalam negara kita; ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :
1. Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.
Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.
Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.
Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

2. Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia
“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.
Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.


Matlamat
‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA
Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:
1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.
2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.


KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA
Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU
Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.
Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

PENGISIAN DI BIDANG PENDIDIKAN

Sebagai ahli akademik, Prof Rohaty melihat pendidikan ialah ejen perubahan yang amat penting kerana kanak-kanak belajar bersosial di sekolah.

Beliau berpendapat falsafah dan dasar perlulah jelas kerana ia akan mempengaruhi pelaksanaannya.

Menurut beliau, 1Malaysia perlu dilihat bersama-sama dengan falsafah yang sedia ada seperti Rukunegara, Falsafah Pendidikan Negara, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan lain-lain.

(1Malaysia memberi penekanan kepada lapan nilai -- budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti)

"Pada saya, nilai-nilai ini perlu diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti ko-kurikulum.

Walaupun bukan baru, ia perlu diberi perhatian bersungguh-sungguh. Ia perlu dijadikan teras kurikulum serta diukur dari segi hasil pembelajaran baik di sekolah atau di universiti.

Bagaimanakah nilai ini boleh dijayakan?, Prof Rohaty mencadangkan pakar -pakar pendidikan mengubah pendekatan pendidikan supaya nilai-nilai ini terserlah dan diakui penting.

"Contohnya tugasan akademik di universiti perlu ada elemen kesungguhan dari segi teori, cara menulis dan membincangkan sesuatu isu. Selain itu, integriti diukur melalui tingkah laku individu yang terlibat.

MENGUBAH PANDANGAN SKEPTIKAL

Kejayaan sesuatu perubahan terletak kepada penerimaannya.

Dalam psikologi perubahan, akan ada individu yang berfikiran pesimis dan hanya melihat kepada rintangan sahaja. Ia boleh mempengaruhi individu lain.

"Perpaduan bukan cerita baru yang tidak diketahui. Berbekalkan sejarah dan teras ini saya rasa pandangan skeptikal boleh dikurangkan.

Caranya ialah mewujudkan penerimaan ke atas 1Malaysia (nilai yang dikongsi)," ulas Prof Rohaty.

"(Ini bermakna) Perlulah nilai itu diterima dan difahami manfaatnya kepada kualiti hidup, organisasi dan diri sendiri.

Saya rasa nilai-nilai ini cukup universal dan relevan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama."

Prof Rohaty menolak pendapat yang mengatakan 1Malaysia hanya gimik politik. kerana politik dan kehidupan baginya merupakan dua elemen yang tidak boleh diasingkan. Maka kewujudan 1Malaysia akan mempengaruhi sosio-pendidikan dan politik.

Baginya 1Malaysia bertujuan melanjutkan proses membina negara yang terlaksana 50 tahun lalu.

"Politik dan pendidikan saling berkaitan maka masyarakat patut berfikiran terbuka menerima nilai-nilai dan pembelajaran baru yang lebih kreatif.

"Saya fikir banyak yang perlu diperjelas dalam 1Malaysia khususnya melaksana dan menilai kejayaannya.

"Kita perlu meneliti perbezaan dan fikiran setiap warga Malaysia tentang 1Malaysia dengan hati terbuka dan mencari permuafakatan. Saya berpendapat setiap warga perlu memberikan pandangan mereka dan lebih ramai cerdik pandai dapat berbuat demikian," ulasnya.

Beliau turut melihat golongan pelajar sekolah sebagai sasaran: "Kanak kanak adalah golongan yang paling terbuka fikiran mereka. Individu dewasalah yang boleh meracun fikiran mereka. Oleh itu nilai tersebut perlu diterapkan sejak tadika lagi."


http://www.1malaysia.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1015&Itemid=56&lang=bm 14 OKT 2009

0 ulasan:

Catat Ulasan