Rabu, 11 November 2009

Amalan Pengurusan berasaskan sekolah di Malaysia

1. Pendahuluan
Amalan pengurusan sekolah merupakan beberapa usaha ke arah reformasi pendidikan di negara kita. Pengurusan berasaskan sekolah merupakan alat untuk pembaikan kualiti pendidikan melalui desentralisasi dalam membuat keputusan di sekolah. Pelbagai reformasi dan penstrukturan pendidikan ke arah keberkesanan pendidikan dan pembangunan sekolah sedang dilakukan, bukan saja di barat malah di benua Asia Pasifik termasuk Malaysia. Pengupayaan guru di sekolah-sekolah berada pada tahap yang tinggi dan penglibatan ibu bapa di sekolah-sekolah di Malaysia masih tidak begitu aktif kecuali dalam aspek kutipan derma untuk sekolah.

2. Latarbelakang
Amalan Pengurusan berasaskan sekolah mula diperkatakan seawal 90an di UK, Australia, New Zealand, Canada, AS, Eropah dan Amerika Latin. Dalam mesyuarat APEC ke-3 pada tahun 2004 di Chile. Pengurusan berasaskan sekolah telah diiktiraf sebagai satu strategi dalam membuat reformasi pendidikan. Melalui pengurusan berasaskan sekolah autoriti pentadbiran pendidikan dari sistem berpusat kepada pihak pengurusan sekolah. Dengan itu pengurusan berasaskan sekolah mempunyai Lembaga Pemegang Amanah Sekolah yang berperanan menetapkan dasar sekolah, memilih dan melantik guru besar / pengetua, guru dan staff.Sekolah menyediakan school charter nya sendiri. Gaji kakitangan sekolah dan kos operasi diperolehi daripada geran dari pusat. “Education Review Office, ERO” berperanan membuat kajian dan audit terhadap pencapaian atau perkembangan sekolah. Antara matlamat pelaksanaan pengurusan berasaskan sekolah adalah :
 meningkatkan penyertaan ibu bapa dan komuniti dalam urus tadbir sekolah
 pengupayaan guru besar / pengetua dan guru-guru
 membina kapasiti setempat
 Penambahbaikan kualiti dan kecekapan persekolahan dan secara langsung meningkatkan pencapaian pelajar

3. Amalan asas pengurusan berasaskan sekolah Di Malaysia
Kuasa guru besar dikatakan asas kepada keputusan pengurusan berasaskan sekolah . Guru besar harus diberi kuasa dalam aspek kurikulum (Educational Research Service 1990) agar guru besar dapat memantau pelaksanaan kurikulum di sekolah. Guru besar sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai kuasa yang kuat dalam aspek kurikulum dan akur dengan garis panduan Kementerian Pelajaran Malaysia. Guru besar menggunakan sepenuh kuasanya untuk memastikan proses P & P berjalan dengan lancar. Strategi pengajaran yang berkesan di kelas merupakan keutamaan guru besar di sekolah. Guru besar memainkan peranan yang penting dalam pengurusan kewangan di sekolah. Beliau harus menyediakan bajet sekolah yang baik dan memastikan semua unit di sekolah mendapat agihan peruntukan yang secukupnya. Pengagihan peruntukan yang kemas dan teratur kepada unit-unit di sekolah dapat menyelesaikan keperluan pelajar dan guru (White 1989) di sekolah tersebut. Guru besar sentiasa memantau perbelanjaan sekolah kerana guru besar yang akauntibiliti terhadap segala perbelanjaan di sekolah. Pelaksanaan program peningkatan pengetahuan di sekolah masih sangat kurang . Pembangunan ilmu pengetahuan kepada staf seharusnya kontemporari supaya relevan dengan masa kini (Zaini Ujang 2004) dan menjana keberkesanan P & P. Program yang lebih berfokus kepada pencapaian matlamat sekolah dan penglibatan semua guru dalam program pembangunan profesionalisme staf masih kurang dilaksanakan di peringkat sekolah. Penyampaian informasi oleh pihak sekolah kepada masyarakat luar lebih berfokus kepada pencapaian pelajar mereka dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelajar sahaja. Penyampaian matlamat utama sekolah kepada guru berada pada tahap yang tinggi kerana matlamat yang lengkap dan sempurna dapat membantu guru memahami peranan mereka dan seterusnya dapat menjalankan tugas dengan cekap. Penyampaian maklumat tentang inovasi dalam pendidikan kepada guru-guru sangat kurang dilaksanakan.sar sekolah harus peka dengan perubahan dalam pendidikan dan pendedahan dalam sekolah sangat diperlukan.

Tidak ada satu sistem penghargaan yang berkesan dan memuaskan hati guru-guru di sekolah. Biasanya penghargaan diberikan kepada guru jika ada penambaikan dalam kualiti sekolah tetapi umumnya sistem penghargaan di sekolah berdasarkan pengalaman staf bertugas di sekolah tersebut.

4. Gaya kepimpinan multi-dimensi guru besar di sekolah-sekolah
Gaya kepimpinan multi-dimensi menjadi pilihan utama dan pelengkap bagi membentuk satu kepimpinan yang komprehensif dalam pengurusan berasaskan sekolah . Tetapi tidak ada satupun gaya kepimpinan multi-dimensi yang menjadi peramal yang utama di sekolah. Kepimpinan pendidikan di kalangan guru besar sekolah di Malaysia masih di tahap sederhana. Guru besar sebagai kepimpinan struktur mempunyai keupayaan untuk memastikan keputusan yang dibuat, pelaksanaan mesti dilakukan menurut rancangan secara teliti. Fullan (1993) menegaskan bahawa perancangan yang baik dapat menjamin kejayaan pelaksanaannya. Guru besar sebagai pemimpin kemanusiaan sentiasa memupuk tahap keterlibatan yang tinggi dalam segala keputusan yang dibuatnya. Ini bermakna guru besar akan sentiasa membuat tindakan susulan agar semua arahan yang dikeluarkan berjalan dengan lancar.

Guru besar sebagai orang yang menerajui kepimpinan kurang kemampuan untuk mengurus pekerja dan sumber untuk menyiapkan sesuatu tugas di sekolah. Ini mungkin disebabkan oleh kurang kemahiran dan pengalaman. Guru besar harus mewujudkan perhubungan dan bertindak sebagai pemimpin politik yang berkesan untuk memastikan sesuatu tugas diselesaikan secara efektif.

Sebagai kepimpinan simbolik, guru besar sentiasa mementingkan kesetiaan guru-guru di sekolah agar guru cinta dan taat kepada sekolah dalam usaha mencapai kecemerlangan sekolah. Tahap guru besar sentiasa menjadi model yang berpengaruh kepada organisasi berada pada tahap yang sederhana. Guru besar sebagai ‘role model’ dapat membina sekolah yang berkesan. Keterlibatan membuat keputusan secara partisipatif di kalangan guru besar, guru-guru dan ibu bapa. Guru besar memainkan peranan yang penting dalam pembuatan keputusan di sekolah. Penyampaian informasi, kepimpinan multi-dimensi guru besar mempunyai korelasi dan sumbangan terhadap tindakan membuat keputusan secara berpartisipatif.

5. Pengupayaan Guru besar
Pengupayaan merupakan satu daripada aspek terpenting dalam pendesentralisasi pendidikan (Wan Zahid 1994; Cheng 1994).Guru-guru di sekolah mempunyai pengupayaan yang tinggi dan terdapat kecenderungan untuk melibatkan secara langsung untuk melaksanakan sesuatu tugas dengan baik. Guru-guru sering berusaha melakukan penilaian kendiri secara berterusan. Ini menunjukkan sokongan guru besar-guru besar terhadap budaya pengupayaan adalah tinggi, tanpa dorongan pihak pengurusan, budaya pengupayaan tidak akan tercapai kejayaan (Grant et al. 1994). Guru sentiasa bersedia mempertingkat kemahiran diri dalam melaksanakan sesuatu tugas dan menyesuaikan diri dengan kehendak persekitaran sekolah yang sentiasa berkembang dengan idea-idea baru.

6. Penglibatan aktif ibu bapa di sekolah
Penglibatan ibu bapa di sekolah menunjukkan kecenderungan yang sederhana. Ibu bapa tidak begitu berminat untuk meluangkan masa melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti di sekolah. Terdapat beberapa halangan yang menyebabkan ibu bapa tidak boleh berkomunikasi dan melibatkan diri dalam aktiviti sekolah. Perhubungan yang baik di antara ibu bapa pelajar dan warga sekolah dapat meningkatkan prestasi pembelajaran pelajar. Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan sering dikaitkan dengan kejayaan anak-anak mereka. Penyampaian informasi dan kepimpinan multi-dimensi adalah penyumbang kepada penglibatan aktif ibu bapa di sekolah.

7. Pelaksanaan pengurusan berasaskan sekolah
Pelaksanaan pengurusan berasaskan sekolah perlu dijalankan secara menyeluruh dengan melibatkan semua warga sekolah. Sekolah disarankan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan berasaskan sekolah yang dianggotai oleh semua warga sekolah dan pakar-pakar yang dapat memberi sumbang saran dan mengambil bahagian yang aktif dalam pembuatan keputusan. Program latihan dan kursus perlu diberikan kepada guru-guru secara berterusan agar proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan dan memenuhi keperluan kurikulum semasa Pengurusan sekolah perlu sentiasa memberi penghargaan dan ganjaran serta pengiktirafan kepada guru-guru yang berjaya menyumbang kepada peningkatan prestasi sekolah. Semua guru besar harus menghadiri kursus-kursus kepimpinan yang dapat membuat penambahbaikan dari segi kemahiran memimpin di sekolah yang penuh cabaran.

Ibu bapa dan masyarakat setempat harus diberi peranan yang lebih luas agar mereka sedar tanggungjawab serta peranan masing-masing. Pihak sekolah haruslah mempunyai pengetahuan, kemahiran, sikap dan strategi untuk membolehkan mereka bekerjasama secara berkesan. Sekolah-sekolah yang mengamalkan pengurusan berasaskan sekolah harus membina satu iklim pembelajaran yang kondusif dan disiplin yang teratur, bukan mementingkan keuntungan sahaja.

8. Kesimpulan
Satu pendekatan untuk menghasilkan pendidikan berkualiti ialah dengan cara mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah. Pada hari ini, persekitaran sentiasa berubah, tetapi sekolah dan sistem pendidikan tidak mudah berubah. Secara dasarnya pelaksanaan Pengurusan berasaskan sekolah adalah bertujuan untuk penambahbaikan pendidikan dan hasil akhir kepada proses pendidikan dengan penyertaan semua stakeholder Walaupun perlaksanaan Pengurusan berasaskan sekolah ini begitu berjaya di New Zealand, namun tidak semestinya Pengurusan berasaskan sekolah ini diguna serta-merta dalam pengurusan sekolah di negara kita. Ini kerana perlaksanaan Pengurusan berasaskan sekolah menuntut pengorbanan daya usaha lebih dan tanggungjawab yang sangat tinggi.Faktor masa dan bebanan kerja yang bertambah adalah cabaran yang perlu ditempuhi. Namun dengan adanya pengurus yang berkualiti di kalangan lembaga pemegang amanah, guru besar, guru-guru dan staf Pengurusan berasaskan sekolah ini boleh mencapai objektif yang diinginkan.


RUJUKAN
Abdul Shukor Abdullah (1998) Fokus Pengurusan Pendidikan. Kuala Lumpur Kementerian Pendidikan Malaysia

Abdul Shukor Abdullah. (1998). Pendidikan Guru Untuk Sekolah Berkesan. Kertas kerja Persidangan Ke-2 Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Guru (JPPG) di Universiti Malaya. 26-28 Oktober 1998.
Azmi Zakaria. (1995) Indikator kepimpinan cemerlang: satu analisis dari sudut Pengurusan. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidikan di IAB Genting Highlands. 4 November.
Cheng, Kai-Meng. (1994). Issues In Decentralizing Education: What the reform in China Tells. Educational Research, 21 (8), 799-808
Cheng, Y.C. 1993. Profiles of organizational culture and effective school. . School Effectiveness and School Improvement 4 (2) : 85-110
Cheng, Y.C. (1996). School Effectiveness & school-based management: A mechanism for development. London : The Falmer Press.
Baca Selanjutnya... - Amalan Pengurusan berasaskan sekolah di Malaysia

Rabu, 4 November 2009

Kepimpinan

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang paling tinggi sekali darjatnya jika dibanding dengan makhluk-makhluk lain di dunia ini. Sejak berkurun lagi manusia bersama koloninya telah membentuk komuniti kecil dan telah dikepalai oleh seseorang yang dinamik dan diterima dalam komuniti mereka.

Kepimpinan" ialah perkataan terbitan daripada "pimpin". Pimpin bererti bimbing, pandu atau tunjuk. Memimpin diberi erti sebagai memegang tangan dan membawa berjalan menuju ke sesuatu tempat. Kepimpinan membawa erti "keupayaan memimpin" dan "kepemimpinan" pula "keupayaan sebagai pemimpin, daya seseorang pemimpin" (Kamus Dewan 1994).
Kepimpinan merupakan satu subjek yang menarik kepada semua golongan masyarakat. Kepimpinan memberi gambaran individu yang berkuasa dan dinamik, yang memerintah tentera atau mengarah empayar korporat. Sejarah manusia penuh dengan pemimpin tentera, politik, agama dan sosial. Perjuangan pemimpin yang berani dan bijaksana menjadi intipati legenda dan mitos.
Persoalan yang selalu timbul ialah kenapa sesetengah pemimpin menyemarakkan semangat dan kesetiaan yang begitu tinggi dan membawa organisasi mereka ke mercu kecemerlangan. Walaupun persoalan ini telah lama menjadi subjek perbahasan, penyelidikan ke atasnya baru dimulakan dalam abad ini. Malah di negara kita penyelidikan tentang kepimpinan baru dimulakan. Tumpuan penyelidikan adalah pada faktor penentu keberkesanan pemimpin dan kepimpinan. Ahli sains perilaku manusia cuba mengkaji ciri-ciri pemimpin dan kepimpinan, perilaku, sumber kuasa atau aspek persekitaran menentukan pengaruh pemimpin ke atas pengikut dan mencapai objektif mereka.
Baca Selanjutnya... - Kepimpinan

ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Pengenalan
Bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau lebih dikenali sebagai ICT kini telah berkembang pesat dan secara tidak langsung memberi kesan corak kehidupan masyarakat pada hari ini. Teknologi Maklumat dan Komunikasi bukan lagi dilihat sebagai kehendak sebaliknya keperluan masa kini. Adalah menjadi menjadi satu nilai tambah kepada individu itu apabila ianya memiliki kemahiran ICT terutamanya dalam pasaran pekerjaan kini. Justeru itu, perubahan daripada pendekatan pendidikan bersifat tradisional atau berasaskan kertas dan pen perlukan segera kepada pendidikan yang berteknologi adalah satu perkara besar yang perlu diberi sokongan.

Perkembangan program ICT di sekolah

Penggunaan komputer di sekolah bermula dengan penubuhan kelab - kelab komputer secara tidak formal atas inisiatif pihak sekolah serta sokongan kuat dari PIBG. Melalui Program Pembestarian Sekolah, intergrasi ICT diperkenalkan di mana guru menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran serta penggunaan ICT dalam pengurusan serta pentadbiran sekolah. Menurut Pisapa (1994), intergrasi ICT dalam P&P bermaksud penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal, memperkukuh dan menambah kemahiran. Di mana teknologi ini perlulah tidak lari daripada objektif pengajaran-pembelajaran dan kaedah pengajaran. Perlaksanaan ICT dalam pengajaran-pembelajaran perlu terancang dan bersesuaian dengan bagi memastikan keberkesanan perlaksanaannya. Matlamat pembangunan ICT dalam pendidikan antara lainnya ialah untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur ICT dengan memperluas akses dan ekuiti dalam kemudahan ICT, memperluas kurikulum berasaskan ICT, meningkatkan sistem pentaksiran dengan menggunakan ICT, menekankan pengintergrasian ICT dalam pengajaran-pembelajaran, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT dikalangan pelajar, tenaga pengajar dan personal Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan, meningkatkan usaha pengurusan dan penyelenggaraan perkakasan ICT, meningkatkan program penyelidikan dan pembangunan, dan meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat dalam membantu memperkembangkan ICT dalam pendidikan.

KEBERKESANAN PROGRAM ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengintegrasian ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan satu usaha yang baik tetapi bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Bagi melihat keberkesanan program ICT dalam membentuk proses pengajaran dan pembelajaran, selain daripada guru itu sendiri perlu kreatif dan inovatif dalam mengaplikasikan teori – teori pembelajaran ke dalam program ICT. Oleh itu, pengetahuan terhadap program ICT perlulah bersifat terkini atau ‘up to date’. Selain itu, dalam membincangkan keberkesanan program ini dalam pembentukan proses pengajaran dan pembelajaran, kita juga perlu melihat kepada isu – isu yang timbul dalam program ini. Umum mengetahui bahawa teknologi maklumat dan komunikasi sudah lama dilaksanakan di sekolah melalui penubuhan kelab – kelab komputer. Sungguhpun begitu, terdapat beberapa masalah yang timbul dan ini sedikit – sebanyak memberi kesan kepada keberkesanan program ini dalam membentuk proses pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) merupakan salah satu cara untuk mengintegrasikan teknologi dalam pendidikan yang berpotensi untuk mengoptimakan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Teori pembelajaran pula menjelaskan bagaimana seseorang belajar. Pendekatan teori-teori pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan. Gagne (1985) mendefinisikan tujuan teori dalam pembinaan perisian adalah untuk mewujudkan satu perhubungan yang seimbang antara tatacara arahan dengan kesan ke atas proses pembelajaran dan jangkaan pembelajaran yang dapat dihasilkan melalui proses-proses tersebut. Aplikasi teknologi multimedia yang berpandukan teori-teori pembelajaran yang relevan dalam pembinaan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) memainkan peranan yang penting dalam membekalkan beberapa program pengajaran yang sesuai dalam usaha untuk merealisasikan potensi pelajar dengan sepenuhnya. Di sini perancangan yang sistematik dan teratur dalam rekabentuk dan pembinaan perisian PPBK yang berlandaskan pendekatan teori-teori pembelajaran perlu dilaksanakan terlebih dahulu agar perisian yang dihasilkan menyumbang kepada keberkesanan pembelajaran dan berkualiti

PERSPEKTIF GURU TERHADAP ICT

Menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Maju pada tahun 2020 sangat menuntut kepada lahirnya masyarakat teknokrat yang bertaraf dunia serta bermoral disamping melahirkan generasi yang memiliki daya kreatif dan daya saing yang tinggi dan mampu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia. Apabila kita berbicara mengenai masyarakat, pelajar – pelajar pendidikan khas juga ahli masyarakat yang berpotensi dalam menjayakan wawasan Negara ini. Justeru itu, peluang yang sama perlu diberikan kepada golongan ini untuk mengoptimakan potensi diri mereka mengikut tahap kebolehan mereka.
Sebagai seorang guru, adalah menjadi satu tanggungjawab kita untuk memastikan program yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sebagai seorang guru, kemahiran dalam ICT mesti seiring dengan perkembangan semasa teknologi ini. Ini bermaksud, guru perlu sentiasa bersifat terkini atau ‘up to date’ dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat. Guru pendidikan khas yang mahir dalam ICT dan pada masa yang sama berkemahiran serta berpengalaman dalam pengajaran-pembelajaran samada pendidikan masalah pendengaran, penglihatan mahupun pembelajaran tahu akan keperluan ICT dalam bidang masing – masing. Guru – guru sebegini perlu dilahirkan dan bertanggungjawab dalam menyediakan perisian pengajaran – pembelajaran yang khas untuk pendidikan khas terutamanya pendidikan khas bermasalah pembelajaran yang lebih menjurus kepada masalah akademik pelajar. Seperti yang diketahui, pengaplikasian ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah – sekolah rendah pendidikan khas bermasalah pembelajaran adalah masih kurang. Kebanyakkan fasiliti yang ada sekarang lebih bersifat teknikal seperti komputer riba, televisyen, radio, projektor dan video. Keperluan ICT dalam pendidikan khas bermasalah pembelajaran adalah perisian / courseware yang lebih bersifat permainan atau yang sesuai pada tahap penerimaan pembelajaran. Perlu diketahui bahawa pelajar bermasalah pembelajaran di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah terdiri daripada mereka yang mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti down syndrom, terencat akal, hyperactive, ADHD, lembam dan sebagainya.

Penutup

Sungguhpun keperluan prasarana dan fasiliti ICT serta kemahiran guru dalam bidang ini masa kini masih kurang, namun usaha dan sokongan pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran Malaysia menampakkan satu usaha yang positif. Usaha pihak kerajaan dan pihak guru atau sekolah tidak akan berjaya sekiranya tanpa bantuan pihak lain seperti ibubapa, pihak bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan masyarakat itu sendiri. Semua pihak perlu membina satu hubungan pintar atau ‘smart partner’ demi kepentingan semua pihak dan sekaligus dapat mengimbangi antara cabaran dan kejayaan perlaksanaan Program ICT dalam pengajaran-pembelajaran di sekolah – sekolah pendidikan khas.


RUJUKAN
Ali, W. Z. (2000). Memahami Pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.
Fufrell, P. G. (1995). Teachers, Computer and Curriculum-Microcomputers in the Classroom. Needhom Heghts: A Simon & Schuster Company.
Ishak, A. L. (2001). Pendidikan Pra Sekolah Untuk Guru (ed. 2). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Paul F. Merill, K. H. (1996). Computer in Education 3rd Edition (ed. 3). Needham Heights: A Simon & Schuster Company.
Rusli, M. &. (2005, Jun 22). Retrieved Ogos 13, 2007
Sang, M. S. (2005). Ilmu Pendidikan untuk KPLI (Komponen 3: Profesionalisme Keguruan Sekolah Rendah). Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Baca Selanjutnya... - ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Masalah pelaksanaan PJ

Masalah yang dihadapi dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan kesihatan adalah perkara lumrah yang terjadi apabila sesuatu mata pelajaran tersebut tidak diletakkan sebagai mata pelajaran teras. Selain Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, beberapa mata pelajaran lain turut menghadapi situasi yang sama seperti mata pelajaran Pendidikan Moral, Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Seni, Kajian Tempatan dan beberapa mata pelajaran lain yang tidak disenaraikan yang dianggap sebagai subjek pengganggu. Ibu bapa juga tidak menaruh harapan yang tinggi kepada anak-anak mereka untuk menumpukan kepada mata pelajaran yang bukan merupakan subjek peperiksaan. Lantaran itu, Pendidikan Jasmani telah menjadi mata pelajaran sampingan yang tidak begitu diutamakan. Hasilnya kanak-kanak datang ke sekolah dalam keadaan kurang cergas, tidak bermaya, mengantuk dan ramai yang telah mengalami obesiti. Mengapakan fenomena ini terjadi? Di sini saya cuba dapatkan sedikit gambaran melalui rujukan dari buku-buku yang sempat saya cari dan mendapatkan sedikit sebanyak jawapannya. Di antaranya adalah:

1. Persepsi negatif pentadbir

Pihak pentadbiran sekolah sering meletakkan guru yang mengajarkan mata pelajaran Pendidikan Jasmani sebagai pelengkap jumlah waktu mengajar guru. Hal ini berpunca daripada masalah kekurangan guru yang opsyen bagi mata pelajaran tersebut. Guru yang terlibat dalam mata pelajaran ini pula memandang rendah terhadap mata pelajaran ini kerana mata pelajaran ini tidak mempunyai nilai dari segi peperiksaan umum. Kebanyakan sekolah terutama sekolah rendah tidak menitikberatkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani. Pelajaran pendidikan jasmani sekolah rendah ada elemen sains sukan walaupun tidak secara detail seperti sekolah menengah, walaupun pelajar tahap 1 diajar tentang perkara-perkara yang dianggap remeh, namun dari situlah kita belajar bagaimana membina kondisi otot, koordinasi dan elemen-elemen sains sukan yang lain.

Sedihnya, pihak pentadbiran sekolah beranggapan pendidikan jasmani tidak perlu guru yang mahir tentang pendidikan jasmani, malah sesiapapun boleh mengajar pendidikan jasmani. Mengapa terjadi apa bila tiba waktu pengajaran mata pelajaran pendidikan jasmani, pelajar sibuk nak main bola sepak, kenapa? Ini adalah disebabkan, apabila pendidikan jasmani, guru-guru yang tidak tahu atau yang bersikap sambil lewa ini mengambil jalan mudah iaitu dengan hanya memberi sebiji atau dua biji bola sepak atau bola jaring kepada murid dan lepaskan mereka ke padang manakala guru itu pula, lepak-lepak di tepi padang. Ini adalah disebabkan pihak pentadbiran sekolah tidak begitu mangambil berat tentang pelaksanaannya,tiada pemantauan dan beranggapan agar guru berkenaan telah melaksanakan tugas mereka memasuki kelas. Pendidikan jasmani bukan subjek utama peperiksaan UPSR. Apa yang diperkatakan bukan atas bukan atas dasar emosi tetapi kebenaran yang terbukti di depan mata, malah saya pernah diberitahu oleh pihak pentadbir sekolah yang saya mengajar pendidikan jasmani sepenuhnya 80% seperti yang termaktub di dalam pekeliling, siapa-siapa pun boleh mengajar pendidikan jasmani. Ini realiti bukan fantasi. Bagaimana sains sukan nak diterapkan jika dari sekolah rendah pun murid tidak didedahkan dengan pembelajaran pendidikan jasmani ini? Macamana atlet nak maju jika di dalam kepala mereka diterapkan dengan sukan untuk sosial dan glamour jika kita sibuk nak tiru negara-negara lain, sebenarnya mereka yang telah meniru kita tetapi kita tidak sedar... kalau tidak takkan wujud atlet ternama seperti Zaiton Othman, Allahyarham Mokhtar Dahari, Rabuan Pit dan beberapa atlet sukan yang lain.

Pentadbiran di peringkat sekolah mahupun jabatan hanya menjadikan matapelajaran ini sampingan dengan meletakkan keutamaan kepada subjek teras yang lain dan juga menempatkan guru-guru yang yang tiada pengkhususan untuk mengajar subjek ini sebagai pelengkap jadual waktu. Aktivi sukan permainan hanya di adakan atas kertas sahaja dan dari segi perlaksanaan tiada begitu kerana pelaksananya tiada berminat atas alasan kos,masa, tiada keuntungan dan juga dari aspek pemberian ganjaran dan insentif kepada guru yang melaksanakan subjek ini hampir tiada.Guru PJK dan sains sukan bertungkus lumus dalam panas terik dan hujan tanpa adanya batasan masa tetapi dari aspek pemberian insentif apa pun tiada manakala guru yang mengajar B.I dan etems yang duduk bawa kipas dan bilik berhawa dingin dapat 10% dengan hanya melakukan kerja pada waktu dan masa yang tertentu sahaja. Tiada sebarang keistimewaan untuk guru-guru PJK dan Sains Sukan.dari segi metodologi dan aplikasi hanya guru yang ada knowledge tentang Sains Sukan dapat memberi input kepada pelajar dan hanya input ini yang akan melahirkan pelajar yang sihat dan seimbang dari segi jasmani,emosi,rohani, intelek dan manusia yang sempurna.

2. Sikap Guru terhadap Pendidikan Jasmani

Guru Pendidikan Jasmani adalah guru yang menyebarkan pengetahuan awal kepada pelajar tentang sesuatu kemahiran baru tentang sukan. Mereka adalah pencetus kepada minat pelajar terhadap sukan dan seterusnya pelajar akan memilih sukan kegemarannya sebagai kegiatan riadah. Kekangan dalam menguasai sesuatu kemahiran sukan sering berlaku kerana guru yang mengajar Pendidikan Jasmani kurang ilmu pengetahuan dalam bidang yang diajar. Tambahan, guru hanya merasakan tiada keperluan dan kepentingan untuk mengajar pelajaran Pendidikan Jasmani kerana tidak melibatkan penilaian dan akauntabiliti. Tillman (1996), memperkatakan tentang akauntabiliti yang harus dimiliki oleh seseorang guru Pendidikan Jasmani.

Guru Pendidikan Jasmani yang berakauntabiliti menurut beliau adalah guru yang mempunyai kesedaran dan bertanggungjawab terhadap tugas mengajarnya dengan betul dan sempurna. Justeru, akan mewujudkan situasi pembelajaran yang bermakna bagi seseorang pelajar hasil komitmen guru yang berakauntabiliti. Setiap guru mesti mempunyai tanggungjawab terhadap menyampaikan pelajaran dan sepatutnya menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani. . Sebenarnya sistem pendidikan di Malaysia memberi peluang kepada setiap pelajar mengetengahkan bakat dan kebolehan mereka dalam bidang sukan. Ketrampilan guru dalam sukan sepatutnya dapat menggarap pelajar menyalurkan kemahiran bersukan serta dapat menggunakan ilmu pendidikan sukan semasa mereka menyertai pertandingan di peringkat sekolah, daerah atau negeri.

3. Persepsi Ibubapa terhadap mata pelajaran PJK

Di pihak ibu bapa pula menganggap bahawa mata pelajaran ini banyak membuang masa kerana murid telah diwajibkan menyertai kegiatan kokurikulum yang lain pada luar waktu pembelajaran. Mereka menganggap bahawa mata pelajaran peperiksaan lebih penting daripada mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Oleh itu, mereka lebih menggalakkkan anak-anak mereka menghadiri kelas-kelas tuisyen bagi menghadapi peperiksaan daripada berjemur panas, berlari di tengah padang untuk bersukan. Murid pula beranggapan bahawa mereka dapat memberi pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada bersenam atau bersukan. Walaupun mereka sedar bahawa mata pelajaran ini penting bagi meningkatkan tahap kesihatan dari segi fizikal dan mental, namun sikap malas dan menganggap bahawa mata pelajaran Pendidikan Jasmani tidak penting telah mempengaruhi minda mereka. Tanpa kesihatan fizikal, seseorang itu akan mengalami masalah dari segi fizikal dan mental. Otak yang cergas adalah bermula dari badan yang sihat.

4. Peruntukan waktu pengajaran

Walaupun sejak bukan Disember 1993,Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat keputusan menambahkan satu masa kepada waktu pendidikan jasmani dan kesihatan untuk Tahap satu menjadi ‘Tiga Waktu’ manakala mengekalkan dua waktu untuk Tahap ll. Masa yang diperuntukkan itu masih lagi tidak mencukupi. Memandangkan masa yang terhad itu, kita perlu mengkaji semula atau membuat perancangan tentang bilangan objektif yang boleh kita capai dalam satu-satu tahun itu Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperuntukan dua waktu seminggu bagi pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah-sekolah menengah dan masa bagi kegiatan kokurikulum (bidang sukan) kepada pelajar. Pendidikan Jasmani adalah bidang ilmu yang mengabung jalinkan aspek-aspek pendidikan melalui aktiviti pergerakan fizikal dalam sukan.

Matlamat Pendidikan Jasmani adalah ke arah pembinaan kecergasan diri pelajar melalui amalan-amalan gaya hidup sihat serta menjadikan aktiviti kecergasan dan sukan sebagai pendidikan sepanjang hayat (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1999). Berdasarkan matlamat tersebut, guru perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut sukatan pelajaran dan disesuaikan dengan tahap kematangan dan kebolehan pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran guru hendaklah bermakna dan berkesan dengan menguasai ilmu konten pedagogi pada tahap tinggi. Surat pekeliling ikhtisas bilangan 25/1998 memaklumkan bahawa mata pelajaran Pendidikan Jasmani adalah mata pelajaran teras dan perlu dilaksanakan seperti yang diperuntukan dalam Akta Pendidikan 1996. Pelaksanaan mata pelajaran tersebut hendaklah berlandaskan kepada pelajar menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang terkandung di dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani melalui pergerakan fizikal. Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001)

5. Persekitaran pengajaran

Persekitaran sekolah turut memainkan Selain daripada objektif, faktor-faktor lain yang mempengaruhi perancangan ialah saiz kelas, peralatan dan kemudahan. Semua faktor tersebut perlu diberi perhatian untuk memastikan kejayaan kelas pendidikan jasmani. Jika saiz kelas itu besar, maka masalah kekurangan peralatan dan kemudahan mungkin timbul. Justeru itu, perancangan diperlukan untuk mengatasi masalah tersebut. Misalnya ,suatu kumpulan kecil boleh dibentuk,Misalnya suatu kumpulan kecil boleh dibentuk untuk tujuan di atas

6. Kekurangan guru opsyen

Mata pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah-sekolah menengah sepatutnya diajar oleh guru-guru yang berkelayakan dalam bidang Pendidikan Jasmani atau Sains Sukan (guru opsyen) kerana mereka telah didedahkan dengan ilmu konten dan pedagogi semasa dalam kursus pengajiannya. Namun demikian, masih terdapat guru-guru yang bukan dalam bidang Pendidikan Jasmani atau Sains Sukan (guru bukan opsyen) diminta untuk mengajar mata pelajaran tersebut. Perkara ini berlaku kerana kurangnya guru opsyen Pendidikan Jasmani di sekolah-sekolah menengah. Tambahan, pihak sekolah masih beranggapan bahawa mata pelajaran Pendidikan Jasmani boleh diajar oleh semua guru kerana mata pelajaran ini tidak berunsur peperiksaan dan pendekatan mengajar lebih kepada bermain-main. Tanggapan tersebut tidak berasas kerana peranan guru ialah menyampaikan ilmu pengetahuan dalam pelbagai pendekatan kepada murid untuk mereka menimba pembelajaran yang berkesan Persoalannya, adakah guru opsyen dan bukan opsyen yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah menengah mempunyai ilmu konten dalam proses pengajaran dan pembelajarannya.

Menurut Shulman (1987), seseorang guru perlu menguasai teras pengetahuan terutamanya ilmu konten untuk mengajar dengan berkesan dalam bidang pelajarannya di sekolah. Ilmu konten sangat penting kerana matlamat pengajaran seseorang guru ialah untuk melaksanakan sebaik mungkin proses pembelajaran yang berkesan agar pembelajaran menjadi lebih menarik dan dapat memotivasikan murid dengan mengambil bahagian dalam aktiviti aktiviti Pendidikan Jasmani.

Shanker (1985), telah melaporkan bahawa guru di Amerika Syarikat yang dikaji menggunakan kemahiran profesional am (ilmu pedagogi am) dengan lebih cenderung memilih tajuk dan kaedah pengajaran yang mudah semasa mengajar bagi menangani situasi yang mana guru merasakan mereka kurang pengetahuan dalam bidang yang diajar. Seharusnya guru perlu yakin menggunakan ilmu konten daripada ilmu pedagogi am dalam proses pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar di sekolah. Pissanos & Temple (1990), melaporkan bahawa guru opsyen Pendidikan Jasmani merasa kecewa dengan kualiti pengajaran guru bukan opsyen kerana pengajaran mereka bersifat “ikut apa yang cikgu suruh buat” daripada pengajaran yang berpusatkan ‘bagaimana nak lakukan dan mengapa perlu lakukan kemahiran itu”. Harris (1992), menegaskan bahawa peranan guru Pendidikan Jasmani ialah memperkembangkan pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan sikap melalui aktiviti sukan supaya murid menjadi pengamal dalam membudayakan sukan untuk kesihatan dan kecergasan. Kementerian Pendidikan Malaysia (1997) pula menjelaskan bahawa peranan guru bestari ialah melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti sebagai aspek penting bagi menjamin tercapainya matlamat pendidikan negara seterusnya wawasan negara.

7. Kemudahan fizikal dan alatan

Kemudahan infrastruktur dan peralatan untuk menjalankan aktiviti pendidikan jasmani. Kawasan lapang seperti gelanggang permainan, padang bola dan ruang-ruang yang agak luas memainkan peranan penting dalam menjalankan sesuatu aktiviti. Kekangan yang dihadapi oleh sekolah bandar ialah mendapatkan kawasan padang permainan yang agak luas disebabkan faktor nilai hartanah yang tinggi. Kawasan sekolah menjadi semakin sempit, ruang untuk sekolah menyediakan kemudahan agak terhad. Sebaliknya, sekolah-sekolah di kawasan pedalaman menghadapi kekangan dari segi kemudahan peralatan.

Jika ditinjau di sekolah-sekolah pedalaman dan luar bandar, jumlah peruntukan untuk membeli peralatan sering digunakan untuk pembangunan sekolah. Akibatnya pelajar terpaksa menggunakan peralatan yang agak uzur, alatan yang dan dimakan usia dan tidak selamat untuk digunakan. Seandainya pihak pentadbir sekolah kurang berminat dalam bidang sukan, maka tumpuan yang agak kurang diberikan, begitu juga sebaliknya. Guru-guru terpaksa menggunakan kreativiti masing-masing dalam pengajaran mereka bagi menarik minat pelajar.

Sesuatu kurikulum yang dibentuk bergantung kepada kemudahan dan peralatan yang sedia ada. Sekolah sebagai tempat pelaksanaan kurikulum bertanggungjawab ke atas kemudahan dan peralatan untuk kegunaan kelas pengajaran dan juga untuk aktiviti-aktiviti bukan pengajaran. Ini menunjukkan bahawa kemudahan dan peralatan merupakan salah satu aspek yang penting dalam pelaksanaan sesuatu kurikulum, termasuk kurikulum Pendidikan Jasmani.

Penglibatan pelajar akan menjadi lebih aktif sekiranya peralatan yang digunakan adalah mencukupi (Mohd Sofian, 2006).Seterusnya, pengajaran akan dipermudahkan sekiranya terdapat banyak peralatan yang boleh digunakan. Pendidikan Jasmani tidak dapat dijalankan tanpa peralatan yang lengkap. Mengajar Pendidikan Jasmani tanpa peralatan samalah seperti mengajar subjek akademik tanpa buku dan bahan-bahan sokongan yang l



Penutup

Mata pelajaran Pendidikan Jasmani memainkan peranan yang penting sebagai landasan untuk mencungkil bakat atlet dari peringkat sekolah sebelum meneruskan kerjaya mereka dalam bidang sukan. Kita berasa optimis bahawa negara mampu melahirkan atlet yang berwibawa dan berjaya jika asasnya bermula dengan baik di sekolah. Sebagai Pemimpin pendidikan, Guru Besar perlu memainkan peranan mereka bagi menjadikan mata pelajaran ini sebagai subjek yang popular dan mendapat tempat di kalangan warga pendidik.


Baca Selanjutnya... - Masalah pelaksanaan PJ